6 Strategi Mengurus Masa


Setiap perkara kebanyakkannya mesti ada strategi-strategi tertentu bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar. Belajar nak kena ada strategi, malah nak bangun awal pun nak kena ada strategi. Ya tak? Samalah dalam mengurus masa sehari-hari, perlu kepada perancangan dan strategi agar ianya tidak berjalan begitu sahaja. 

Orang kata “masa diibaratkan mata pedang, siapa yang tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita”. Siapa yang rugi dan menyesal?, kata masa tidak cukuplah untuk siapkan kerja-kerja yang semakin hari semakin bertambah. Maka, siap sediakan diri anda sekarang untuk mengikuti beberapa strategi dalam mengurus masa dan diharapkan ianya dapat memberi banyak manfaat kepada diri anda sendiri.


Rancang MASA Anda

Setiap hari sebelum tidur, ambil satu kertas atau guna sahaja smartphone canggih anda untuk senaraikan rancangan keesokan harinya. Senarai ‘To Do List’ sebelum tidur dapat membantu malah memudahkan diri anda sendiri keesokan harinya sejak dari awal pagi lagi, memandangkan anda sudah tahu apa yang perlu dibuat. Kenapa perlunya sebelum tidur bukan selepas bangun tidur atau waktu pagi sahaja? 

Sebenarnya ada tujuannya, iaitu bila bangun pagi terus boleh jalankan tugasan harian anda tanpa perlunya sebarang perancangan lagi. Sebab waktu pagi adalah untuk terus bergerak bukannya baru nak buat perancangan, “Fikir nak buat apa ya hari ini?”. Kira masa kita akan lebih tersusun dan jimat. 

Biarlah kita korbankan masa beberapa minit atau 1 jam pun sudah memandai sebelum tidur hari ini untuk merancang, yang mana akan menyelamatkan 24 jam keesokan harinya. Jadi tunggu apa lagi, rancanglah segera!!


Menetapkan PRIORITI Anda

Bagi memastikan masa anda berkualiti, jangan sesekali laksanakan tugasan lain sebelum menyelesaikan tugasan yang sedang dilakukan. Senaraikan tugasan mengikut prioriti (kepentingan yang mana dahulu) seperti buat aras penanda “Urgent”, “Important”, “Do It Now” dan “Not Urgent”.

Aras penanda ini anda boleh rangkanya sendiri mengikut keselesaan dan kesesuaian kerja tertentu. Periksalah jadual sebelum mulakan tugasan yang baru bagi mengelakkan sebarang pertindihan kerja dan kecelaruan fikiran. 

Siapa susah kalau dah mula stress dengan kerja-kerja semakin bertambah? Jadi, laksanakanlah prioriti yang mana dahulu mengikut keutamaan. Hati dan jiwa pun tenang sebab tersusun.


Sediakan GANJARAN Pada Diri Anda Setelah Selesai Tugasan

Bagi menghargai diri sendiri setelah berjaya melaksanakan tugasan, contohnya konsep “Me Time” iaitu sesuatu yang seumpama ganjaran kepada diri sendiri dijalankan. 

Suri rumah seumpamanya diberikan “Me Time” pada setiap hujung minggu (Sabtu/ Ahad) dengan diberi ganjaran untuk berehat seperti keluar membeli-belah, hang-out bersama rakan-rakan dan lain-lain, setelah berhari-hari menjalankan tugasan rumah dan sebagainya. Malah pelajar juga perlu kepada ganjaran pada diri sendiri apabila telah berjaya menyiapkan tugasan atau latih tubi mengikut jadual yang dirangka dengan membelanjakan diri sendiri dengan makanan yang lazat. 

Maka, dengan adanya konsep ganjaran kepada diri sendiri ini setelah menyelesaikan tugasan dapat mendorong diri agar lebih menghargai masa dan melaksanakan tugasan pada masa atau sebelum ianya telah ditetapkan.


Padamkan Tabiat Suka Menangguh dan Menunggu

Sikap suka menangguh dan menunggu ini amatlah tidak sihat bagi diri sendiri malah orang di sekeliling. Apabila seseorang itu suka menangguh kerjanya pada hari ini untuk dilakukan pada hari esok, dan kerja pada hari esok ditangguhkan pada hari yang berikutnya dan seterusnya. Ini membawa kepada pertambahan demi pertambahan kerja hari demi hari. Orang yang menerima tugasan akan menjadi terbeban dan orang yang memberi tugasan turut merasakan tempias bebanan kerana tugasan yang perlu diserahkan pada masa itu kepadanya tidak terlaksana. 

Mulakan tugasan pada awal pagi kerana badan dan tenaga kita masih cergas dan bersemangat berbanding petang hari. Oleh itu, kembali kepada strategi penetapan prioriti anda dengan mendahulukan yang mana dahulu bagi mengelakkan tabiat tangguh. 

Tidak berjaya seseorang itu dengan sikapnya yang suka menangguh. Maka, segerakanlah tindakan anda. Yang bekerja teruskan menjalankan kerja anda dengan amanah, dan yang sedang belajar teruskan usaha anda belajar untuk berjaya.


Belajar Untuk Mengatakan TIDAK Bagi Sesuatu Perkara

Kebanyakkan orang susah nak mengeluarkan perkataan TIDAK atau TAK. TIDAK yang bagaimana? TIDAK yang membawa kepada penolakan untuk menerima sesuatu kerja itu. 

Belajarlah untuk menolak sekali sekala dengan menggunakan kebijaksanaan. Bila tamak selalu rugikan? Samalah seperti seseorang yang susah sangat untuk menolak apabila sentiasa diberi tugasan yang baharu, walaupun si dia itu tahu tugasan yang sebelum ini pun belum tentu dapat diselesaikan dengan segera. 

Tetapi jangan pula apabila diberikan tugasan, sentiasa nak kata ‘TIDAK’ pula, dengan alasan tidak mampu melaksanakannya atau sibuk yang teramat sangat tetapi realitinya masanya kosong sahaja tanpa sebarang aktiviti berfaedah. Fikir-fikirlah yang mana terbaik untuk diri sendiri.


Bersyukur Dan Berdoalah Kepada Allah Atas Nikmat Masa

Antara kebanyakkan strategi mengurus masa yang disenaraikan, keutamaan perlulah kepada konsep bersyukur dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Sebab apa? Allah kan yang Maha Berkuasa, Maha Pemurah, Maha Memberi. 

Tanpa keberkatan daripada Allah SWT, hidup kita malah masa yang seminit atau sesaat sekalipun akan terasa tidak bermakna, dan masa 24 jam seharian terasa seperti cepat sahaja berakhir. 

Bak kata orang “tanpa sedar sudah mahu tidur semula”. Jadi sebelum nak merancang atau mulakan tugasan harian anda, berdoalah agar masa anda sentiasa diberkati oleh Allah SWT.