5 Teknik Mengingat dengan Mudah


Siapa ada masalah nak mengingat, menghafal? Siapa yang tiada, anda sangatlah beruntung dan perlu bersyukur sebab apa? Sebab diberikan daya ingatan yang segar dan kuat. Bagi yang susah nak mengingat itu, jangan lupa untuk bersyukur juga ya!! Anda juga bertuah sebab masih diberikan peluang berfikir untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu dan mengingat dengan cara anda tersendiri. Orang kata nak berjaya, kenalah usaha lebih lagi malah mesti berganda-ganda. Teknik mudah untuk mengingat sebenarnya banyak tapi yang paling utama adalah dalam diri anda sendiri. Bagaimana? Dengan keazaman, keyakinan dan sentiasa positifkan diri anda sendiri bahawa anda boleh. Saya Boleh!!


Berdoa
Senjata orang mukmin adalah dengan berdoa. Siapa kita, menidakkan untuk berdoa tetapi keinginan melebihi segala-galanya. Dengan berdoa, seseorang akan lebih tenang dalam menghadapi kerja seharian. Dengan ucapan “Bismillah” di awal pagi sahaja membantu memudahkan urusan harian dan memberikan keberkatan kepada kita.
Inikan pula dengan doa-doa yang lain. Amalkanlah doa sebelum belajar dan doa menguatkan ingatan. Tapi nak dapatkan doa di mana ya? Internet, di kedai-kedai, perpustakaan dan banyak lagilah tapi yang penting usaha kena ada untuk mencari.
Kalau tak pun doa dalam bahasa kita sendiri pun boleh sebab Allah Maha Mendengar tapi kenalah konsisten dan selalu. Bukannya sekali sahaja doa, selepas tu dah. Usaha tu yang penting, usaha dalam berdoa. Jangan malas pula berdoa. Nak berjaya tapi malas pula.


Mempersiapkan dan Menyegarkan Diri
      Kenalpasti waktu di mana kemampuan otak anda berfikir untuk menghafal. Antara waktu yang sesuai untuk menghafal adalah ketika mana diri anda dalam keadaan segar seperti waktu sebelum subuh atau pagi hari. Tetapi ada sahaja yang berasa segar pada waktu tengah malam kerana keadaan yang sunyi dan nyaman untuk belajar. Maka, sesuaikanlah diri anda untuk belajar dan menghafal pada mana-mana waktu yang sesuai dengan diri sendiri.
            Sebelum memulakan hafalan, pastikan diri anda segar, bersemangat, tidak penat dan sewaktu dengannya agar hafalan anda lebih kuat. Mandi dan bersihkanlah diri dahulu sebelum belajar. Nak tambah power dan berkesan lagi,  dengan menunaikan solat wajib mahupun sunat sebelum memulakan pelajaran.
            Pilihlah kawasan yang selesa dan tenang. Mengafal dalam keadaan yang bising berkemungkinan akan menganggu konsentrasi fikiran anda seperti di pasar-pasar dan seumpamanya. Tapi, tidak salah sekiranya itulah tempat yang anda rasakan mudah bagi anda. Sebab tidak semua adalah sama dengan cara kita. Terpulanglah kepada kita dalam memastikan keadaan sekeliling dan masa yang sesuai bagi diri sendiri untuk memulakan hafalan. Janji apa yang dihafal adalah bermanfaat dan berkekalan.


Menulis Sebelum Menghafal
Sebelum memulakan hafalan, rajin-rajinkan lah diri anda untuk menulis serba sedikit perkara-perkara penting seperti point-point yang mudah diingati dan difahami. Boleh juga hanya dengan menulis tajuk besar dan sub-sub topik yang ada agar mudah untuk dihuraikan dan difikirkan kelak.
            Point yang dicatat juga boleh kita pendekkan dan kaitkan dengan hal-hal sekeliling kita. Anda gabungkan point yang perlu diingat hanya menjadi satu perkataan atau ayat sahaja. Ia dikenali sebagai cara hafalan Mnemonik dengan penggunaan akronim, akrostik, cerita, kata kunci, perumpamaan visual (Imagery), Pancang (Peg Word), dan teknik Loci. Banyakkan? Jadi anda kenal pasti, belajar dan ikutlah yang mana bersesuaian dan mudah. 
            Melalui cara menulis sebelum menghafal dapat memberi gambaran awal kepada akal fikiran sebelum menghafal. Ia akan memudahkan kerja otak anda untuk menganalisis data-data pada peringkat seterusnya. Jadi rajin-rajinkan diri untuk menulis dahulu sebelum memulakan hafalan. Kerja keras sikit ya.


Mencatat Kembali Hafalan
Hafal lah nota-nota anda itu sebaik mungkin selepas menulis. Selepas menghafal cuba untuk mencatat kembali hafalan anda di dalam satu kertas. Nak buat macam mana? Dalam bentuk peta minda? Point-point? Karangan atau berbentuk cerita atau ada cara lain lagi? Terpulang kepada anda. Sebab anda yang menghafal dan ingat apa yang telah dihafal.
            Boleh juga anda hanya catatkan tajuk atau sub tajuk sesuatu subjek itu. Seterusnya anda ceritakan dalam minda anda sahaja mahupun huraikan dalam bentuk visual peta minda dan sebagainya.
Cuba untuk gambarkan sebaik mungkin hafalan anda. Kemudian bandingkan catatan anda sebelum menghafal dan selepas hafalan yang mana lebih baik. Nilaikan hasil hafalan anda, dan sekiranya kurang memuaskan cuba lagi dan lagi. Sehinggalah daya ingatan anda semakin kukuh.


Mengajar Seseorang atau Kepada Diri Sendiri
Ilmu dikatakan akan bertambah sekiranya kita berkongsi kepada orang lain. Ada yang menyatakan bahawa, “Jika kita mudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita”. Jadi tunggu apa lagi, mudahkan lah urusan kawan-kawan kita, kejayaan pun boleh dicapai bersama-sama. Baru best!!
Setelah hafalan dibuat, bolehlah kuatkan ingatan hafalan dengan menceritakan kepada orang lain pula. Kalau segan sangat, ceritakan dekat kucing atau haiwan lain pun boleh. Tak ada haiwan, tidak mengapa ceritalah dengan diri sendiri melalui cermin. Cara ini dapat meningkatkan daya ingatan kita melalui pengulangan bacaan dan penceritaan yang kita ucapkan. Sebab anda sudah menggunakan deria melihat, membaca, mendengar bahkan menulis pun ada.
Jadi tidak ada sebarang alasan lagi untuk diri anda mengatakan “Kenapa lupa ni, padahal semalam baru baca, apalah jawapan ni?!! Arggghhh..” semasa dalam ujian ataupun peperiksaan. Mulakanlah dari sekarang sekiranya diri anda tahu menghafal mengambil masa. Setelah selesai semua mohonlah kepada Allah yang Maha Esa agar meredhai dan memberkati hafalan dan usaha kita.